Februari 04, 2022
Restoran Star Hadramout : Sedap & Harga Berpatutan
Selesai jalan-jalan sekitar JB malam Isnin lepas, sudah sampai masanya kitaorang laki bini bergerak balik ke Perak. Hari Selasa tu kira agak lambat juga kami berdua gerak balik sebab adik ipar Syu cadang nak belanja makan tengahari di salah satu restoran Arab yang terkenal di Johor Bharu (JB) ni. Datang ke JB ni kalau tak makan Nasi Beriyani Gam & Nasi Arab memang rugi. Restorannya bukan satu dua jer ada di JB ni. Melambak. Kena pandai cari sahaja.
Berdasarkan rekomendasi dari adik ipar & biras Syu, ada 3 buah restoran makan Arab yang selalu diorang singgah makan. Ketiga-tiga restoran ni antara 3 restoran makanan Arab di JB yang boleh dikatakan sedap & berbaloi harganya. Yang pertama Restoran Wadi Hana Elarabi. Yang ke-2 Restoran Zaituna & yang ke-3 Restoran Star Hadramout.
Kalau ikutkan, rancangan asalnya adik ipar Syu nak bawa makan di Restoran Wadi Hana. Tapi malangnya, restorannya tutup. Nak singgah ke Restoran Zaituna ramai pula orang. Sampai beratur dekat luar yang tak tahan tengok tu 😂. Risau juga nak redah semata-mata nak makan Nasi Arab. Nanti tak pasal-pasal ada pula kluster restoran Arab JB. Jadi nak tak nak, pilihan terakhir kitaorang adalah Restoran Star Hadramout.
Dari luar nampak macam restoran kayangan jer. Gerun juga nak masuk masa memula tu. |
Tempat cantik & selesa
Restoran ni pun kalau ikutkan ramai juga pengunjungnya. Tapi disebabkan restorannya besar & dipecahkan kepada dua kedai, jadi masih ada banyak ruangan kosong untuk pengujung datang duduk menjamu selera. Lagipun kitaorang sampai dah lepas waktu kemuncak. Pengunjung pun banyak yang dah selesai makan & tinggalkan restoran.
Restorannya cantik luar dalam. Terpegun bila masuk. |
Masuk-masuk sahaja restoran ni memang terpegun gila Syu rasa. Restorannya bukan sahaja cantik di luar. Di ruangan dalam pun boleh tahan cantik juga. Rasa teruja juga masa Syu mula-mula masuk. Dekorasi restorannya memang cantik & sejuk mata memandang. Suasananya ceria & tenang jer. Tempat duduk pun selesa. Siap ada bantal-bantal bagai. Anak buah Syu sampai siap boleh baring-baring lagi tau.
Ini kalau ada bawa anak kecil memang sesuai sangat. Sambil makan-makan boleh bagi anak baring guling-guling santai. Tak gaduh nak berpegang & letak dalam kerusi bayi bagai. Senang golongan mak-mak yang ada anak kecil nak isi perut. Tempat duduk korang boleh pilih samada nak makan di atas lantai atau duduk di kerusi batu berbantal yang macam kitaorang duduk ni.
Siap baring lagi yang tak tahan tu 😆. |
Tengok restoran dah eksklusif. Harga makanan pun mesti eksklusif juga agaknya. Dalam hati ada juga terdetik - "Mesti mahal Pak Arab ni cas harga makanan nanti 😂". Masa ni belum tengok menu lagi tau. Lepas dah tengok menu agak terkejut jugalah dibuatnya. Boleh dikatakan affordable jugalah harga menu-menunya. Kira harga menu-menunya bukan standard kayangan. Semua golongan mampu singgah & makan di restoran Nasi Arab ni. Bukan itu jer, dia punya portion makanan pun boleh dikatakan banyak juga.
Semua sedap belaka!
Di Restoran Star Hadramout ni kitaorang pesan makanan yang kitaorang nak makan sahaja. Macam Syu & biras makan Chicken Mandy. Sebab itu sahaja yang biasa makan pun. Takut pesan yang lain nanti tak kena pula dengan selera. Macam suami Syu pula pesan menu yang sama macam adik dia - Madghout Lamb. Selebihnya ada lah beberapa menu sampingan & pencuci mulut buat tambah-tambah.
GAMBAR BESAR : Set Kebab & Madghout Lamb. KANAN ATAS : Set Ayam Panggang untuk anak buah. KANAN BAWAH : Khunafa. |
Syu paling teringin sangat nak rasa pencuci mulutnya - Khunafa & Baklava. Almaklumlah, selalu tengok orang makan dalam YTube macam sedap jer. Sekali sekala dah sampai restoran Arab ni teringin juga nak rasa sejauh mana sedapnya manisan dari Timur Tengah ni. Biras Syu pesan kedua-dua manisan ni masing-masing dua set.
Tapi, yang sampai hanya dua set Khunafa sahaja. Mungkin tukang ambil pesanan tu lupa tulis agaknya. Jadi, kitaorang batalkan sahaja pesanan. Lagipun kitaorang semua masing-masing dah kenyang. Cukuplah hanya Khunafa sahaja dijadikan pencuci mulut. Baklava nanti sekali lagi datang JB baru pesan 😅.
Set Chicken Mandy ni memang nampak macam sikit. Tapi bila makan terasa macam banyak. Jenuh nak menghabiskan 😂. |
Bulan Ramadhan lagi meriah!
Adik ipar & biras Syu cakap, kalau bulan Ramadhan lagi meriah restoran-restoran Nasi Arab ni. Makan secara ala carte macam bula-bulan biasa tak ada, sebaliknya diorang buat makan berbuka puasa secara buffet. Satu kepala ±RM50. Masa tu boleh makan sepuas-puasnya. Kebab, Chicken Mandy, Khunafa semua ada.
Yang pasti sebelum datang berbuka puasa kena buat tempahan terlebih dahulu. Kalau tidak, jawabnya kempunan. Sebab dalam bulan Ramadhan, buffet di restoran Arab antara yang highly demand & restorannya memang akan sentiasa penuh dengan pengunjung 😅. Tak tahulah yang bagi penuh tu orang asal JB atau orang luar JB. Syu sendiri pun tak pasti.
Baklava ni Syu dapat dari encik suami. Katanya adik ipar belikan. Sedap 😋! |
Selesai adik ipar Syu bayar, kitaorang berdua laki bini pun bergerak pulang ke Perak. Kalau ikutkan Syu boleh jer nak sambung cuti lagi satu hari di JB. Tapi memandangkan encik suami kena masuk kerja esoknya, terpaksalah balik juga. Seronok jalan-jalan JB ni. Tak puas rasa.
Cadang nak singgah sini lagi bulan Ramadhan nanti berbuka puasa. Bila adik ipar & biras Syu cakap meriah, rasa macam satu kerugian pula kalau lepaskan peluang ni. Lagipun bulan Ramadhan dah tak lama dah. Harap ada rezeki jejak ke sana Ramadhan nanti.
Februari 03, 2022
Percutian Pendek Ke Johor Bharu (JB)
Percutian ke Johor Baharu (JB) ni antara percutian yang tak dirancang macam Syu pergi Bercuti Ke Negeri Cik Siti Wan Kembang hujung tahun lepas. Asalnya, kami berdua laki bini berada Kuala Selangor & Sekinchan masa hari Ahad lepas. Kononnya nak pergi jalan-jalan cari makan di sana. Bukan apa, tekak ni teringin sangat nak makan mentarang & belangkas 😛. Nak dijadikan cerita, sesampai di sana, kedai yang Syu nak pergi tu banyak dah tutup. Jadi, terpaksalah tukar plan di saat-saat akhir. Itu yang tak pasal-pasal jauh lajaknya sampai ke JB tu 😅.
Alang-alang adik ipar Syu duduk JB, jadi malam tu kami laki bini shoot terus pergi ke sana. Lagipun, kitaorang berdua tak pernah pergi rumah diorang. Selalu diorang yang datang singgah ke rumah kitorang laki bini bila diorang balik ke Semanggol. Sekali-sekala lajak ke sana apa salahnya kan. Cuti Syu dengan encik suami pun masih ada lagi berbaki dua hari. Takkan nak sia-siakan macam tu jer. Rugi!
Malam Ahad tu memang masing-masing laki bini koyaklah biji mata menahan mengantuk. Korang bayangkanlah, sampai di JB pukul 4 pagi. Mahu tak koyak 😅. Tambah pula sebelum gerak ke sana kitorang berdua dah kenyang makan. Jadi, kepala memang meminta sangat disorongkan bantal. Apa-apa pun alhamdulillah. Kitaorang berdua selamat sampai di JB tanpa sebarang masalah. Cuma sampai-sampai di rumah adik ipar, temperature kereta ada naik sedikit.
PANTAI STULANG | Pagi Isnin tu Syu bangun lewat sikit sebab mengantuk malam tadi pun tak habis lagi. Dalam pukul 11 pagi baru Syu bersiap-siap ikut biras Syu keluar selesaikan urusan pembaharuan cukai jalan kereta Syu di Pejabat Pos Tampoi - Hari Isnin Penyelamat Keadaan. Kalau tak buat nanti takut kena saman masa Polis buat sekatan jalan raya. Risau juga kan. Tambah-tambah cuti panjang bersempena Hari Raya Cina ni. Mesti ramai anggota Polis akan keluar bertugas buat operasi. Nanti tak pasal-pasal dapat pula surat cinta dari diorang. Naya 😂.
Seberang sana dah Singapura. Tak jauh dah. |
Lepas asar macam tu kami semua keluar lagi jalan-jalan ke Pantai Stulang. Saja nak ambil angin petang. Sambil-sambil tu boleh cuci mata tengok negara jiran kita Singapura. JB dengan Singapura memang tak jauh dah. Sekangkan kera jer. Kalau duduk santai-santai di Pantai Stulang memang boleh nampak negara Singapura. Dalam hati ada juga terdetik. Kan bagus kalau Negara Singapura ni sebahagian dari Malaysia. Tapi, apakan daya. Disebabkan ada banyak isu berbangkit antara Malaysia & Singapura. Maka dipisahkan juga Singapura dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 - Singapura Keluar Dari Malaysia.
PASAR KARAT | Lepas duduk lepak-lepak di Pantai Stulang, kami pun balik sekejap ke rumah adik ipar yang terletak di Taman Bukit Kempas. Malam sikit baru kami keluar sekali pergi makan malam di salah satu kedai Steamboat & Grill. Adik ipar Syu tak dapat ikut sekali masa tu sebab dia diarahkan bertugas oleh pegawai atasan. Katanya ada Ops Merecun 😅.
Selesai makan malam. Kitorang pun pergilah ke Pasar Karat JB yang terletak di Jalan Segget. Ada sesetengah orang di JB ni panggil Pasar Karat Segget & ada sesetengah orang panggil Bazaar Karat JB. Syu sendiri pun tak pasti yang mana satu. Yang pasti, tempatnya memang seronok & meriah untuk dikunjungi. Ada satu banggunan kedai dalam Pasar Karat ni menarik perhatian Syu. Bukan sahaja dari ssegi warna, malah dia punya reka bentuk tu seolah-olah seperti banggunan lama. Kalau nak banggunan tu sebenarnya merupakan restoran Marry Brown. Syu tak pasti samada ianya reka bentuk asal atau ianya memang direka sebegitu. Tapi yang pasti, Syu memang tertarik dengan banggunan ni.
Antara banggunan yang menarik perhatian Syu bila singgah ke Pasar Karat JB ni. |
Dari pengamatan Syu, suasana pasarnya lebih kurang macam Gerbang Malam Ipoh juga. Cuma Pasar Karat JB ni besar sikit & ada banyak penjual yang berniaga. Agak penat jugalah berjalan sebenarnya sebab pasar karatnya besar 😂. Untuk pengetahuan korang, Pasar Karat JB ni beroperasi setiap hari bermula dari 6 petang sehingga ke jam 12 tengah malam.Waktu siang akan ada kedai-kedai lain yang beroperasi di sini seperti biasa. Cuma waktu malam sahaj ia akan diambil alih oleh pemilik tapak pasar untuk meniaga.
DANGA BAY PARK | Selesai cuci mata di Pasar Karat JB, kami pun singgah sekejap ke Danga Bay Park. Danga Bay Park ni antara salah satu tarikan yang menarik di Johor juga. Di sini ada satu taman tema. Tak besar pun taman temanya. Tapi tempatnya memang cantik & sesuai sangat dijadikan tempat beriadah bersama anak-anak. Ada banyak permainan yang boleh dimain di dalam taman tema ni sebenarnya. Syu sendiri pun tak tahu apa nama-nama permainan yang ada dalam tu. Yang Syu kenal Merry-go-round jer. Alah, kuda yang pusing-pusing macam dalam drama Korea Stairway To Heaven tu 😁.
Syu ingat nak mainlah Merry-go-round yang ada di dalam taman tema tu. Malangnya, masa Syu sampai taman temanya tutuplah pula. Baru berangan nak naik & buat aksi ala-ala drama Korea Stairway To Heaven tu 😜. Potong betul lah. Penyudahnya. Kami semua jalan-jalan sahaja sekitar kawasan Danga Bay Theme Park tu sahaja. Sampai satu kawasan lapang, nampaklah orang main basikal, skuter eletrik & roda bulat guling-guling tu - Syu sendiri pun tak tahu apa nama dia 😅.
![]() |
Cantik tempatnya kalau buka. Tapi malangnya masa kami sampai taman tema ni dah tutup 😌. |