Oktober 07, 2021
Dinner Menu Sarawak Hari Ni 😋

Masih belum habis lagi topik Syu pasal bumi kenyalang yer kawan-kawan. Beberapa hari yang lepas Syu ada bercerita pasal parcel kayangan Syu dah sampai. Hari ni Syu nak cerita pulak pasal salah satu menu Sarawak kegemaran yang Syu masak malam ni untuk makan malam, iaitu Mee Kolok. Menu ni memang senang sangat nak prepare tau. Yang penting minyak bawang goreng wajib ada. Bak kata kawan Sarawak Syu yang sorang tu : "Minyak bawang ya penting Syu key molah mee ya nyaman!!". Ayat yang sama diulang-ulang dari tahun lepas masa mintak resepi Mee kolok ni.
Memandangkan ada tetamu frontliner (a.k.a kakak ipar) dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) datang bertandang makan malam, maka kita masaklah lebih sikit. Untuk masak Mee Kolok ni, apa yang perlu korang buat adalah dengan merebus daging ayam/lembu terlebih dahulu untuk buat supnya. Masa nak merebus tu masukkan juga rempah 3 sekawan. Bila dah empuk keluarkan dari kuah sup tu. Kalau buat Mee Kolok Daging, make sure korang potong daging tu nipis-nipis supaya senang nak kunyah 😁. Untuk ayam pulak cuma perlu carik-carikkan jer guna tangan macam nak buat Soto. Lepas tu, kuah rebusan tu tadi korang boleh lah guna untuk buat sup pulak.
Sup yang Syu buat ni sup simple jer. Air rebusan ayam tadi tu Syu cuma masukkan bawang goreng, bawang putih, black paper, akar daun sup & MAGGIE cukup rasa. Sukatannya macam biasalah, main agak-agak jer. Tak kuasa nak sukat-sukat. Rempah 3 sekawan tak payah bubuh lagi tau. Sebabnya masa merebus ayam tadi dah bubuh siap-siap. Kalau tak nanti, rasa rempah tu akan jadi kuat bila makan dengan mee kolok nanti. Lagipun sup mee kolok cuma lite-lite jer rasanya.
Lepas dah siap sup, mee, ayam carik & segala sayur semua. Boleh lah get ready untuk plating. Tapi kena buat mee kicapnya dulu. Nak buatnya memang senang sangat. Syu cuma letak minyak bawang dalam satu camca, lada sulah & kicap manis. Kacau-kacau sikit lepas tu gaul bagi sebati dengan mee kolok yang dah dicelur. Kemudian letaklah sayur sawi, taugeh, ayam carik, bawang goreng, lobak masin, daun sup & daun bawang. Dah siap bolehlah ngap dengan sup 😋. Kalau makan dengan sambal kicap memang terangkat tau.



