Julai 05, 2025
Puasa Tasu’a & Puasa Asyura: Puasa Sunat Penuh Keberkatan
Assalamualaikum korang! Harini nak kongsi sikit pasal puasa Tasu’a & puasa Asyura. Mungkin ada yang dah biasa dengar, tapi ramai juga yang masih keliru — apa perbezaan, kenapa kita digalakkan berpuasa & bila tarikh yang sebetulnya untuk kedua-dua jenis puasa ni.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ، بَعْدَ رَمَضانَ، شَهْرُ اللَّهِ المُحَرَّمُ وأَفْضَلُ الصَّلاةِ، بَعْدَ الفَرِيضَةِ، صَلاةُ اللَّيْلِ
"Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, iaitu MUHARRAM. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam."-HADIS RIWAYAT MUSLIM, 1163
Apa Itu Puasa Tasu’a & Puasa Asyura?
Okay, simple je sebenarnya.
✅ Puasa Tasu’a = Puasa pada 9 Muharram
✅ Puasa Asyura = Puasa pada 10 Muharram
Dua-dua ni puasa sunat yang sangat digalakkan. Nabi Muhammad SAW sendiri pun berpuasa Asyura, malah Baginda ajar kita untuk puasa sehari sebelum atau selepas Asyura supaya nampak puasa kita yang beragama Islam ni berbeza dengan budaya berpuasa orang Yahudi masa tu.
Fadilat Puasa Asyura
Ni part paling best. Puasa Asyura ni menghapuskan dosa-dosa kecil setahun yang lepas — MasyaAllah, banyaknya pahala! Dalam hadis sahih riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda:
Puasa Asyura, aku berharap kepada Allah agar dihapuskan (dosa-dosa) setahun sebelumnya.
Bayangkan, hanya dengan puasa sehari, Allah bagi peluang bersihkan dosa kita setahun. Rugi kan kalau tak buat?
Kenapa Digalakkan Puasa Tasu’a?
Kalau ikut sejarah orang Yahudi masa tu, puasa 10 Muharram ni adalah untuk meraikan hari Nabi Musa a.s diselamatkan dari Firaun. Jadi, Nabi SAW nak kita ni berbeza dengan kaum yang itu, maka Baginda sarankan puasa sehari sebelumnya (9 Muharram) atau tambah sehari selepasnya (11 Muharram).
Tapi kebiasaan kita kat Malaysia, ramai yang buat puasa Tasu’a & Asyura (9 & 10 Muharram) — insyaallah dah cukup ikut sunnah dah tu.
Bila Tarikh Puasa Tasu’a & Asyura?
Untuk tahun 2025 ni, tarikh 9 Muharram jatuh pada hari ini 5 Julai 2025 (Sabtu), dan 10 Muharram jatuh pada 6 Julai 2025 (Ahad). Jadi, kalau korang nak rebut pahala berganda, bolehlah plan puasa dua hari ni. Insyallah mudah je. Kalau tak dapat puasa Tasu'a hari ni. Boleh ganti 11 Muharram (Isnin) minggu depan.
✅ Niat Puasa Tasu’a (9 Muharram)
Sahaja aku berpuasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta‘ala
✅ Niat Puasa Asyura (10 Muharram)
Sahaja aku berpuasa sunat Asyura kerana Allah Ta‘ala
Syu doakan semoga perkongsian ni bermanfaat untuk korang semua. Jangan lupa share dekat family & kawan-kawan — mana tahu boleh jadi asbab pahala berpanjangan, insyallah.
Kalau suka artikel ni, jemput singgah lagi kat blog Syu ya. Nanti Syu share banyak lagi cerita pasal amalan sunat, tips ibadah & kisah-kisah menarik. Selamat berpuasa Tasu’a & Asyura, semua! 🌙✨
April 26, 2025
Iddah Bagi Isteri Yang Kematian Suami
Topik ni agak berat, tapi penting sangat untuk kita fahami – bukan hanya untuk wanita yang tengah melalui fasa ni. Tapi, juga untuk kita yang ada keluarga, kawan mahupun kenalan yang mungkin akan hadapinya suatu hari nanti. Dalam Islam, apabila seorang isteri kehilangan suami akibat kematian. Dia DIWAJIBKAN untuk melalui tempoh yang kita sebut iddah.
Ramai wanita di luar sana yang mungkin kurang jelas tentang tempoh & peraturan iddah selepas kematian suami. Jadi, dalam artikel ni Syu nak kongsikan panduan lengkap mengenai iddah seorang isteri yang telah kematian suami, termasuk hukum, tempoh, larangan, dan hikmah di sebaliknya perlaksanaan iddah ni.
Apa Itu Iddah?
Iddah berasal dari perkataan Arab ‘العدة’ yang bermaksud tempoh menunggu. Dalam konteks isteri yang baru sahaja kematian suami, iddah ni lebih kurang macam "cooling period" ke atas si balu sebagai tanda penghormatan & rasa dukacita di atas pemergian suami. Iddah ini WAJIB & ada tempohnya.
Berapa Lama Tempoh Iddah Kematian Suami?
Menurut hukum syarak, tempoh iddah bagi seseorang wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari (130 hari mengikut kiraan kalendar Islam), seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 234:
“Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menunggu (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari...” - Surah Al-Baqarah: 234
TAPI…
Andai kata sekiranya si isteri tu tengah mengandung ketika suami meninggal, iddah dia akan berakhir setelah dia melahirkan anak. Contoh: Kalau dia bersalin seminggu lepas suami meninggal, maka iddahnya pun habis juga pada masa tu.
Apa Yang Tak Boleh Dilakukan Sepanjang Iddah?
![]() |
SUMBER FOTO : IST |
Ini antara perkara-perkara yang wanita dalam iddah (Kematian suami) kena jaga:
- Tak boleh berhias berlebihan – elakkan pakai mekap, perfume, baju berwarna terang-terang.
- Tak boleh keluar rumah sesuka hati – tapi kalau ada urusan penting (kerja, beli barang keperluan), boleh. Asalkan jaga batas
- Tak boleh terima lamaran atau bernikah – sebab iddah belum habis
- Kena duduk di rumah suami (kalau ada) – kalau rumah sewa atau tinggal dengan keluarga, ikut kesesuaian
Kenapa Islam Wajibkan Iddah?
Jangan sekali-kali beranggapan iddah ini menyusahkan. Iddah ni sebenarnya ada banyak hikmah di sebaliknya yang Allah S.W.T telah atur & tetapkan. Antaranya:
- Sebagai masa untuk tenangkan diri & terima takdir
- Mengelakkan kekeliruan nasab keturunan sekiranya disahkan mengandung
- Tanda kasih & hormat di atas pemergian suami yang tercinta
- Masa untuk muhasabah & rapatkan diri dengan Allah S.W.T
Iddah bukan sekadar ‘masa menunggu’. Ianya satu fasa penting dalam hidup wanita – masa untuk pulih, redha, & susun semula aturan hidup selepas kehilangan seorang suami yang dikasihi. Tempoh iddah bukan sekadar satu kewajipan, tetapi merupakan satu proses penyucian emosi & spiritual seseorang wanita.
Sepanjang tempoh iddah ianya mungkin nampak mencabar. Tapi, sebenarnya ia penuh rahmat & hikmah yang telah Allah S.W.T titipkan untuk kaum hawa. Kalau kita faham tujuan & hikmahnya, kita akan lebih redha & tenang menghadapinya. Sebagai muslimah, memahami & mengamalkan iddah dengan sebaiknya adalah sebagai satu tanda ketaatan & keimanan kita kepada perintah Allah S.W.T. Semoga perkongsian ni bermanfaat dan boleh dijadikan sebagai sumber rujukan.
April 15, 2025
Hari Diharamkan Berpuasa
- Hari Raya Aidilfitri - 1 Syawal
- Hari Raya Aidiladha - 10 Zulhijjah
- 3 Hari Tasyrik - 11,12 & 13 Zulhijjah
- Hari syak - Hari ke-30 bulan Syaaban
Berpuasa pada hari syak adalah diharamkan bagi setiap umat Islam. Hal ini disebabkan pada hari tersebut, anak bulan masih tidak kelihatan, dan kita tidak pasti samada hari berkenaan merupakan hari terakhir bulan Syaaban atau sudah masuk hari pertama bulan Ramadhan.
Julai 18, 2024
Puasa HARI PUTIH
Puasa hari putih atau puasa “Ayyamul Bidh” bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang laitu pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. Hal ini kerana pada waktu itu cahaya bulan sangat terang-benderang.
![]() |
Puasa pada hari-hari putih umpama berpuasa sepanjang tahun. |
Nama “Ayyamul Bidh” ini diberi bersempena dari kisah Nabi Adam ketika diturunkan ke bumi. Pada ketika itu, tubuh baginda terbakar oleh matahari sehingga menjadi hitam. Lalu Allah memerintah baginda Nabi Adam supaya berpuasa selama tiga hari.
Setiap hari baginda berpuasa, dengan izin Allah sepertiga tubuh baginda kembali menjadi putih. Dari peristiwa inilah terbitnya nama “Ayyamul Bidh” yang berarti “hari-hari putih”.
Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ : ثَلَاثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ، وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: "Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun."
-Riwayat Abu Daud (2449)-
Niat Puasa Hari Putih
نَوَيْتُ صَوْمَ أَيَّامَ الْبِيْضِ سُنَّةٌ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
April 22, 2024
Puasa Ganti & Puasa 6 Syawal Serentak?
Puasa sunat enam Syawal antara amalan yang disarankan dalam Islam, di mana umat Islam digalakkan untuk berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal, selepas tibanya Hari Raya Aidilfitri.
Berpuasa enam hari di bulan Syawal mempunyai keistimewaan & ganjaran yang besar. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal, ganjarannya adalah seperti berpuasa sepanjang tahun [HR Muslim:1164]
Perbezaan puasa ganti dengan puasa 6 Syawal
![]() |
SUMBER FOTO : Kosmo |
Dalam perspektif agama, terdapat perbezaan antara puasa ganti dan puasa 6 Syawal. Mari kita lihat penjelasan mengenai kedua-dua jenis puasa ini:
- Puasa Ganti (Qadha)
Puasa ganti dilakukan bagi menggantikan puasa yang tidak dapat dilakukan pada bulan Ramadan sebelumnya. Contohnya, jika seseorang sakit atau sedang musafir, mereka boleh menggantikan puasa tersebut di luar bulan Ramadan - Hari selain pada hari diharamkan berpuasa.
- Puasa 6 Syawal
Puasa 6 adalah puasa sunat yang dilakukan selama enam hari di bulan Syawal. Amalan puasa 6 ni dilakukan setelah berakhirnya bulan Ramadan. Ini termasuk dalam amalan sunat yang dianjurkan dalam Islam.
Seseorang boleh memilih enam hari dari mana-mana hari dalam bulan Syawal untuk berpuasa. Ia tidak perlu berurutan dan boleh dilakukan sepanjang bulan Syawal.
Boleh atau tidak gabung puasa ganti dengan puasa 6 Syawal?
Menurut pendapat yang muktamad oleh para ulama, adalah lebih afdal bagi seseorang untuk berpuasa qada (ganti) & berpuasa sunat 6 Syawal secara berasingan.
Namun, menyatukan puasa qada dengan puasa enam berkenaan adalah harus & tetap mendapat ganjaran pahala kedua-duanya. Berikut adalah beberapa pandangan dari ulama:
- Pandangan Pertama (Muktamad)
Puasa Ganti (Qadha) harus dilakukan terlebih dahulu, kemudian baru dilanjutkan dengan Puasa 6 Syawal. Pendapat ini dianggap lebih afdal (utama).
- Pandangan Kedua
Beberapa fuqaha berpendapat bahawa kita boleh melakukan puasa ganti sekaligus dengan puasa 6 Syawal. Namun, ganjaran pahala dari gabungan ini tidak menyamai pahala seseorang yang telah menyempurnakan puasa sepenuhnya daripada sebulan Ramadan.
Walau bagaimanapun, Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dari Majlis menyimpulkan :
Saya lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat.
Jadi, dibolehkan untuk kita menggabungkan kedua-dua puasa ganti & puasa sunat 6 Syawal serentak dalam satu niat.
Lafaz Niat Puasa Ganti Gabung Puasa 6 Syawal
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءِ رَمَضَانَ
مَعَ سِتَّةِ شَوَّالِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Taala
Jadi, jika ingin melaksanakan kedua-dua jenis puasa ini, dibolehkan untuk melakukannya secara berasingan atau mengikut pendapat yang dhaif. Semoga ibadah puasa kita semua diterima & memperoleh manfaat yang berlipat ganda! 🌙✨
Januari 15, 2024
Doa Minta Pertolongan Dari Sifat Malas

Sifat rajin tu ada pasang surut. Sifat malas pun sama. Tapi, kadang-kadang sifat malas tu pula yang macam terlebih 😅. Betul tak? Tambah-tambah di pagi Isnin macam ni. Mood tu memanjang saja kelaut.
So, hari ni Syu nak share sikit doa minta pertolongan dari sifat malas yang Syu rasa serba serbi lengkap untuk menghindari diri dari sifat malas, kedekut, siksa kubur & terpelihara dari sebarang bencana.
Jun 16, 2023
Cara Istiqamah Solat 5 Waktu
Solat lima waktu merupakan salah satu rukun Islam yang WAJIB dilaksanakan oleh seseorang bergelar muslim. Namun hakikatnya, nak kekal istiqamah (استقامة) dalam solat lima waktu itu bukan suatu perkara yang mudah. Nak-nak pada mereka yang baru berhijrah & bertekad untuk melakukan sesuatu perubahan pada diri.
![]() |
Solat itu ringan. Tapi, berat bagi yang meringankan.- Foto : Sumber Islam Plus |
is.ti.qa.mah] | استقامة
Ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus (termasuk urusan agama)
-Kamus Dewan Edisi Keempat-
Konsep istiqamah itu mudah. Iaitu beriman (Taat), beramal & dilakukan secara berterusan. Tampak senang untuk dipraktikkan bukan? Namun, ia menjadi satu cabaran yang besar & berat buat sesiapa sahaja yang ingin berubah & terus kekal konsisten dengan perubahan tersebut. Ditambah pula dengan pelbagai cabaran & godaan dunia yang ada pada hari ini.
Macam mana nak istiqamah dalam solat?
Memang tak dinafikan iman seseorang hamba itu ada pasang surutnya. Bila-bila masa sahaja boleh berubah. Sekejap ada mood nak solat, sekejap tak nak solat. Waima, yang solatnya penuh lima waktu pun tak terkecuali dari dibolak-balikkan hatinya oleh bisikan syaitan.
BACA JUGA
➢Jin & Syaitan : Ketahui Nama & Tugasnya Dalam Menyesatkan Anak Adam
➢Boleh Ke Tukang Urut Lelaki Urut Wanita?
➢10 Surah Lazim PENDEK & MUDAH DIHAFAL
Walaubagaimanapun, kunci kepada sesuatu perubahan itu terletak pada usaha kita sendiri. Disusuli dengan istiqamah serta tawakal kepada Allah S.W.T. Nak solat kena paksa. Dengan paksaan akan jadi suatu kebiasaan. Bila dah terbiasa, tak akan ada isu tinggal solat 5 waktu lagi
Tapi, macam mana nak terus kekal istiqamah dalam solat lima waktu ni ya 🤔? Berikut, Syu kongsikan caranya. Semoga tips ni bermanfaat untuk korang terus konsisten dalam usaha korang untuk melakukan perubahan.
#1 : Latih diri untuk tidak tinggalkan solat
Setiap hari, cuba paksa & latih diri untuk tidak tinggalkan solat lima waktu. Lakukan secara berterusan. Bermula dengan sehari, seminggu, sebulan sehingga lama-kelamaan ia menjadi rutin harian. Sekiranya tertinggal & ada lompong-lompong waktu solatnya, jangan lupa qada'kan (قضاء).
Pastikan dalam satu hari, tak ada satu pun waktu solat yang ditinggalkan. Pratikkan secara berterusan! Lama kelamaan korang akan terbiasa & akan wujud satu perasaan serba salah untuk tinggalkan solat. Walaupun, hanya satu waktu.
#2 : Solat diawal waktu
Solat yang terbaik, sebaiknya dilakukan di awal waktu. Bukan apa, solat di awal waktu ni banyak faedahnya. Sebab ia mampu mengelakkan korang dari wujudnya sikap bermalas-malasan untuk solat. Bila dah mula malas, faham-faham sajalah.
![]() |
Masuk waktu, terus solat. Jangan lengah-lengah - FOTO : Vallartdaily |
Bukan itu sahaja, solat diawal waktu ni membuatkan hati kita terasa lebih tenang & lapang. Tak percaya? Korang cuba amalkan sendiri! Bila kita jaga waktu solat. Insyaallah, Allah akan permudahkan & lancarkan urusan seharian kita.
Kalau boleh, sebaik selesai sahaja azan dikumandangkan, korang terus berwuduk & solat! Jangan dilengah-lengahkan lagi.
#3 : Bersahabat dengan orang yang menjaga solat
Nak pilih kawan, pilih kawan yang membawa kita ke jalan yang baik & menjaga waktu solat. Bila duduk dalam circle orang yang macam ni, insyallah korang secara automatik akan turut ikut solat juga. Walaupun, korang bukan jenis orang yang menjaga solat.
![]() |
Sahabat yang baik adalah sahabat yang membawa ke arah kebaikkan - FOTO : Freepik |
Pada mereka-mereka yang bersahabat dengan sahabat yang baru nak berhijrah, jangan diabaikan golongan ini. Ajak & bimbing diaorang supaya diorang terus kekal istiqamah untuk lakukan perubahan. Jangan diperli-perli pula. Nanti terbantut usaha diaorang nak berubah 😌.
#4 : Berubah secara berperingkat & tidak secara drastik
Lakukan perubahan secara berperingkat. Jangan gopoh-gopoh & elakkan buat sesuatu perubahan secara drastik. Agar korang lebih ikhlas & tak rasa terpaksa. Walaupun hakikatnya, korang kena paksa juga diri korang untuk solat sebab ianya satu kewajipan & merupakan tuntutan agama. Dari Aisyah R.A. :-
Nabi pernah ditanya : "Manakah amal yang paling dicintai oleh Allah?"
Baginda menjawab : "Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
-Riwayat Al-Bukhari & Muslim-
#5 : Fahami makna & maksud setiap bacaan solat
Dalam setiap rakaat solat itu ada terselitnya doa yang penuh makna. Dari bermula takbir hinggalah ke salam yang terakhir. Jadi, fahami & hayati setiap bait-bait ayat dalam solat itu supaya korang lebih menjiwai & faham tujuan asal solat itu untuk apa.
#6 : Doa & tawakal
Doa itu SENJATA UTAMA umat Islam. Bila kita sudah berusaha sedaya upaya untuk berubah & kekal konsisten dalam solat. Maka, selebihnya kita hanya perlu berdoa & bertawakal kepada Allah S.W.T. supaya diberikan kekuatan & tidak dibolak-balikkan hati kita dalam melakukan kewajiban sebagai hamba-Nya.
Jangan lupa. Amalkan juga doa Nabi Ibrahim & ayat dari Surah Al-Imran ni setiap hari. Supaya korang kekal terus istiqamah & tetap mendirikan solat walau di mana jua korang berada.
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."
[Surah Ibrahim : 40]
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
"Wahai Tuhan kami, janganlah engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkaulah zat yang maha pemberi (Kurnia)."
[Surah Al-Imran : 8]
Apa-apa pun, harus diingat. Sesungguhnya (batas) antara seseorang dengan kesyirikkan & kekafiran adalah dengan meninggalkan solat - Hadith riwayat muslim. Jadi, solatlah sebelum kita disolatkan kerana solat itu tiang agama.
Mac 19, 2023
Wirid & Doa Ringkas Selepas Solat Fardhu
![]() |
KREDIT FOTO : iStock |
WIRID & DOA RINGKAS SELEPAS SOLAT FARDHU | Setiap kali selepas menunaikan solat, lebih sopan jika duduk sebentar luangkan masa untuk berwirid dan memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. Tak lama mana pun baca wirid & doa ni sebenarnya. Paling kurang makan masa 5 minit saja. Berikut Syu kongsikan wirid & doa ringkas selepas solat fardhu yang korang boleh amalkan setiap hari.
1) Istighfar 3X
Mulakan wirid dengan beristighfar. Seperti biasa. Ucapkan kalimah :
أسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لا إلَهَ إلا هُوَ الحَيُّ القَيُومُ وَأتُوبُ إلَيهِ
Aku memohon ampun kepada Allah Yang Maha Besar, tiada tuhan selain Dia, yang hidup lagi sentiasa berkuasa dan aku bertaubat kepadaNya
Daripada Muaz bin Jabal RA katanya: "Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: "Sesiapa yang beristighfar sebanyak tiga kali selepas Solat Subuh dan Asar dengan lafaz [seperti yang di atas] nescaya akan diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan"
2) Pengakuan tauhid
لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Tiada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya, bagi Allah seluruh kekuasaan dan untuk Allah segala kepujiaan. Dia menghidupkan dan mematikan, Dialah amat berkuasa atas segala sesuatu
3) Terpelihara dari azab neraka
اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
Ya Allah jauhkan aku daripada azab api neraka
4) Keselamatan & kesejahteraan
اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ
Ya Allah Engkaulah penyelamat sejahtera, daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan, kepada Engkaulah kembalinya kesejahteraan itu, oleh yang demikian hidupkanlah kami dengan selamat sejahtera dan masukkan kami ke syurga, negara yang aman sejahtera, bertambah-tambah berkatMu Ya Allah Tuhan kami dan Maha Tinggi, ya Allah yang empunya segala kebesaran dan kemuliaan
4) Membaca ta'awuz
Ta'awudz atau isti'adzah merupakan doa untuk memohon perlindungan & pemeliharaan dari Allah S.W.T dari bisikan & gangguan syaitan. Bacaan ta'awuz ni tidak semestinya dibaca ketika wirid. Ia boleh dibaca bila-bila masa.
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam
5) Surah al-fatihah
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ
ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ
إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ
ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ
صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat
6) Surah al-baqarah ayat 163
وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ ۖ لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحْمَـٰنُ ٱلرَّحِيمُ
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa, tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
7) Ayat kursi
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْحَىُّ ٱلْقَيُّومُ ۚ لَا تَأْخُذُهُۥ سِنَةٌۭ وَلَا نَوْمٌۭ ۚ لَّهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ مَن ذَا ٱلَّذِى يَشْفَعُ عِندَهُۥٓ إِلَّا بِإِذْنِهِۦ ۚ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ ۖ وَلَا يُحِيطُونَ بِشَىْءٍۢ مِّنْ عِلْمِهِۦٓ إِلَّا بِمَا شَآءَ ۚ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ ۖ وَلَا يَـُٔودُهُۥ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ ٱلْعَلِىُّ ٱلْعَظِيمُ
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
8) Surah al-baqarah ayat 284-286
لِّلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا۟ مَا فِىٓ أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ ٱللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌ
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
ءَامَنَ ٱلرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِۦ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَمَلَـٰٓئِكَتِهِۦ وَكُتُبِهِۦ وَرُسُلِهِۦ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍۢ مِّن رُّسُلِهِۦ ۚ وَقَالُوا۟ سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ ٱلْمَصِيرُ
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”
لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا ٱكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًۭا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ أَنتَ مَوْلَىٰنَا فَٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir
9) Surah al-Imran ayat 18-19
شَهِدَ ٱللَّهُ أَنَّهُۥ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْعِلْمِ قَآئِمًۢا بِٱلْقِسْطِ ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
10) 4 qul
4 Qul ni panggilan ringkas kepada 4 surah-surah lazim pendek dalam Al-Quran yang dimulai dengan perkataan Qul (قُلْ) - Katakanlah. 4 Qul ni terdiri dari surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas & juga Surah Al-Kafirun. Kalau nak tahu, surah-surah ni bukan sahaja lazim dibaca ketika menunaikan solat. Malah, seringkali juga diamalkan oleh pengamal-pengamal perubatan Islam ketika merawat pesakit yang terkena ganguan syaitan mahupun sihir.
11) Tasbih, tahmid & takbir 33x
اِلَهَنَا يَارَبَّناَ أَنْتَ مَوْلنَا : سُبْحَنَ اللهِ
Ya Allah Ya Tuhanku — Maha Suci Allah
سُبْحَنَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ دَائِمًا أَبَدًا : أَلْحَمْدُ لِلَّهِ
Maha Suci Allah, aku bertasbih sambil memuji-muji kekal sentiasa selama-lamanya — segala pujian hanya bagi Allah
أَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَنِعْمَةٍ : اللهُ أَكْبَرُ
Segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan pentadbir sekalian alam, mana-mana juga keadaan dan nikmat pengurniaanNya — Allah Maha Besar
12) Penutup tasbih, tahmid & takbir
أَللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَنَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang
لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلى كُلِّ شُيْئٍ قَدِيْرٌ
Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tidak ada bersekutu denganNya sesuatu. Baginya kerajaan, baginya segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa ke atas segala sesuatu dan kepada Allah jualah tempat kembali.
اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ وَلَاحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Dan tidak ada daya dan tidak ada kekuatan, kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. Aku mohon keampunan daripada Allah.
13) Doa
![]() |
KREDIT FOTO : Tribune Madano |
Dari segi bahasa, perkataan doa (دُعَاء) itu sendiri berasal dari kata kerja da’a (دَعَا) yang bererti memohon. Memohon kepada siapa? Semestinya kepada Allah S.W.T. Tidak kira dalam apa jua bentuk bahasa sekalipun doa itu pohon. Insyallah dengan izin Allah doa akan diperkenankan.
Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah Al-Ghafir, ayat ke-60:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu
Jadi, selepas solat. Berdoalah. Ini antara contoh doa selepas solat yang paling ringkas & mudah untuk korang hafal & praktikkan selepas selesai berwirid.
“Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang semulia-mulia pesuruh-Nya, serta ke atas keluarga dan sekalian sahabat-sahabatnya.”
“Ya Allah! Hidupkanlah kami dengan iman dan matikanlah kami dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama iman. Ya Allah! Ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa kedua ibubapa kami. Kasihanilah kedua ibubapa kami sepertimana mereka berdua mengasihani kami sewaktu kami masih kecil.”
“Ya Allah! Akhirilah umur kami dengan kesudahan yang baik dan janganlah Engkau akhiri umur kami dengan kesudahan yang tidak baik. Ya Allah! Janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.”
“Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga di akhirat. Peliharalah kami daripada azab neraka. Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan ke atas seluruh keluarga serta sahabat-sahabat Baginda. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.”
14) Penutup surah Al-fatihah
Selesai membaca doa. Lebih afdhal akhiri wirid & doa kita dengan membaca ummul kitab Al-Fatihah. Semoga bermanfaat 🥰.
SUMBER RUJUKAN